Thursday, December 16, 2010

MEMALUKAN- 884 Doktor LETAK JAWATAN


KUALA LUMPUR 15 Dis. — Seramai 884 orang pegawai perubatan telah meletakkan jawatan bagi tempoh 2007 hingga September lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, terdapat pelbagai faktor bagi peletakan jawatan itu antaranya ialah menerima tawaran sebagai tenaga pengajar di Institusi Pengajian Tinggi Swasta, mengikut pasangan ke luar negara, menerima tawaran pekerjaan lain dan masalah kesihatan.

Tiong Lai berkata, terdapat dua kategori peletakan jawatan iaitu peletakan jawatan dan pelepasan dengan izin untuk berkhidmat dengan agensi kerajaan lain seperti universiti dan pihak berkuasa tempatan.

"Daripada jumlah 884 yang meletak jawatan, seramai 757 pegawai perubatan meletak jawatan untuk tidak lagi berkhidmat dengan mana-mana agensi kerajaan manakala baki 127 lagi mendapat pelepasan dengan izin,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Kamal Mohd Yusoff pada persidangan Dewan Negara hari ini. - Bernama [ Utusan Online 15/12/2010 ]

Tuesday, September 7, 2010

Campur Tangan- Mustahil KPN buat fitnah


KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (gambar) semalam mendedahkan wujud campur tangan pihak ketiga ketika beliau menerajui pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketika ditanya siapakah pihak ketiga itu, Musa memberitahu: “Kementerian mana lagi yang jaga polis? KDN (Kementerian Dalam Negeri) lah.”

Wartawan: “Kenapa wujud campur tangan itu?”

Musa: “Kerana politik, kepentingan peribadi dan agenda sendiri.”

Selain itu, beliau yang akan bersara pada 13 September ini mengakui terdapat juga pihak-pihak luar yang bertindak mengeluarkan arahan tanpa pengetahuan beliau.

Jelas Musa, tindakan mencampuri tugas yang dilakukan oleh pihak berkenaan jelas bertentangan dengan arahan dan kawalannya sebagai Ketua Polis Negara.

“Kita tidak mahu orang (luar) bagi arahan salah, bila buat (ia) akan jadi salah.

“Arahan sepatutnya dikawal oleh polis bukannya daripada orang luar,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Kata Musa, arahan dalam pasukan tersebut sepatutnya dibuat oleh pegawai yang bertanggungjawab.

Jelas beliau, polis akan menjalankan tugas selepas mendapat laporan daripada orang ramai. Beliau menambah, campur tangan sedemikian boleh mengganggu siasatan.

“Kita mesti berlaku adil dalam menjalankan siasatan supaya dapat dihormati oleh masyarakat.

“Bila polis tidak dapat menjalankan tugas, orang ramai akan menuduh polis terima rasuah. Hakikatnya, ada arahan pihak lain tanpa pengetahuan polis,” kata beliau.

Ditanya bagaimana wujud campur tangan sedemikian ketika beliau menjalankan tugasnya, Musa memberitahu, sesetengah orang ada kepentingan peribadi, politik dan agenda sendiri. [Kosmo/7Ogos 2010]

Monday, July 19, 2010

Harga Naik- Apa Ada Pada GULA


Sudah hampir seminggu kenaikan harga gula dan petrol diumumkan oleh kerajaan yang amat mengutamakan rakyat dari segi ekonomi pada masa depan,kononya!!Maka hari demi hari dipertontonkan dalam TV bahawa kenaikan harga gula ini akan dapat membantu rakyat mengawal pengambilan gula yang menyebabkan pelbagai penyakit dll.
Cuba anda tanya kepada cikgu sains, adakah betul eksperimen jika kajian yang dilakukan untuk menentukan perbandingan bahan. Tetapi parameter yang digunakan berbeza? sudah tentu keputusan eksperimen tersebut tidak boleh diterima dan tertolak. Begitulah yang dilakukan perbandingan terhadap gula. Kenaikan harga gula ini berorentasikan EKONOMI, tetapi kepada digembar gembur gula yang berorentasikan KESIHATAN. Ini pun mereka hendak memperbodohkan rakyat!! Jika begitu yang hendak digambarkan terhadap gula, kerajaan bolehlah meletakkan gambar kaki kena potong akibat gula atau tulis dipek gula. AMARAN KERAJAAN M'SIA, GULA MEMBAHAYAKAN KESIHATAN.

Tidak cukup dengan itu, media secara sedar atau tidak sekali lagi mengambarkan "kebodohan" pemerintah apabila mengambarkan dengan peningkatan harga gula ini akan mengurangkan aktiviti penyeludupan gula ke luar negara.
Apabila kenyataan ini disebarkan, maka terlintas di fikiran rakyat secara tersirat bahawa selama ini kerajaan tidak serius membanteras penyeludupan gula. Adakah formula untuk membendung jenayah ini ialah dengan meningkatkan harga gula??
Begitulah nasib rakyat negara ini.. RAKYAT DIUTAMAKAN..
Anda fikirlah sendiri....

Wednesday, July 14, 2010

PAS- Rahmat Sekalian Alam


SHAH ALAM – Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) menyokong penuh dasar-dasar ditetapkan Pas, termasuk bai’ah baru dan ikrar aku janji meletakkan jawatan dan membayar ganti rugi, jika tidak lagi bersama Pas.

Setiausaha DHPP, K Deepakaran berkata, sekiranya Pas menetapkan syarat sama jika DHPP dicalonkan sebagai wakil pilihan raya umum akan datang, menjadi tanggungjawab DHPP mendukung segala dasar diberikan Pas dengan amanah.

Menurutnya, apabila seseorang wakil dilantik sebagai ahli majlis atau calon pilihan raya, mereka adalah pendukung amanah rakyat dan jika mereka berpaling bererti mereka mengkhianati rakyat serta wajar menerima hukuman seperti disyaratkan dalam aku janji.

“Sebagai sayap Pas, ahli DHPP sudah sedia maklum dengan dasar parti itu dan ia tidak menjadi masalah.

“Jika hendak berjuang kita perlu yakin dengan perjuangan kita. Pasti tidak masalah untuk keluar parti atau sebagainya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau, yang baru dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Klang berkata, Pas melakukan tindakan yang betul sebagai langkah mengelakkan ahli atau penyokong meninggalkan parti.

Mereka yang melakukan perkara yang bercanggah dengan aku janji patut dikenakan tindakan sedemikian kerana sebagai penyokong mereka perlu bersedia akur dengan dasar-dasar ditetapkan Pas.

“Sebagai penyokong yang bersama-sama dengan perjuangan Pas, kita perlu ikut dasar itu, kalau tidak bersedia, dari awal sudah beritahu dan tidak perlu sertai,” katanya.

Harakahdaily.net melaporkan, parti itu mendapati 67 kerusi ahli majlis kerajaan tempatan di negeri yang ditadbir bersama dengan PKR dan DAP.

Sebagai tanda sokongan, Pas memberikan tempat kepada ahli DHPP apabila empat dari mereka dilantik menjadi ahli majlis di bawah kuota parti itu iaitu S Arun, yang dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor; S Lakshmanan, Kuala Selangor; Low Hock Khieng, Selayang serta Deepakaran.

Mereka yang dilantik telah mengangkat sumpah di depan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr Hassan Ali.

Antara sumpah atau ikrar mereka adalah mereka akan meletakkan jawatan serta-merta dan membayar balik segala pendapatan dan elaun yang diperoleh ketika memegang jawatan sebagai ahli majlis jika mereka tidak lagi bersama Pas. [Sinar Harian/13julai2010]


Jika suatu masa dahulu, orang tidak terlintas dibenak fikiran akan ada orang bukan islam akan menyertai PAS. Tetapi kini segalanya telah berubah, masyarakat bukan Islam juga dapat menerima PAS dan perjuangan yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pimpinan mereka. Benarlah apa yang ada di dalam Al-quran, bahawa Islam ini adalah Rahmat Sekelian Alam. Jika orang bukan Islam boleh menerima PAS, maka orang Islam baka yang belum bersama PAS, patut malu dengan diri dan Islam yang mereka ada..anda fikirlah sendiri...

Tuesday, July 13, 2010

FELDA- Untung Tapi Tak Ada Duit


KERATONG 10 – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Keratong 10, di sini, digesa mempertimbangkan segera permohonan pinjaman perumahan yang dimohon peneroka sejak beberapa tahun lalu.

Peneroka mendakwa, kebanyakan rumah di Felda Keratong 10, masih lagi rumah kayu lama yang dibina semasa mereka membuka tanah rancangan di situ.

Kelewatan memberi kata putus kepada permohonan pinjaman itu menyebabkan peneroka tidak dapat membina rumah baru atau membaiki kediaman mereka.

Keadaan itu menyebabkan mereka sentiasa diselubungi perasaan bimbang berikutan rumah yang didiami sekarang sudah tidak selamat, terutama jika melihat pada sistem pendawaian elektriknya.

Permohonan mereka untuk mendapatkan skim pinjaman perumahan sehingga RM40,000 itu juga ada asasnya berikutan bilangan isi rumah semakin meningkat dan tidak sesuai lagi tinggal di dalam rumah yang kecil dan sempit.

Peneroka mahu pelbagai syarat yang dikenakan terhadap calon peminjam dapat dilonggarkan kerana ia hanya akan membantutkan hasrat mereka untuk mendiami rumah yang lebih selesa.



Pinjaman masih belum diluluskan


Seorang isteri peneroka, Zainon Abu Bakri, 51, berkata, dia sudah membuat permohonan pinjaman sejak 2006, tetapi masih belum diluluskan hingga sekarang.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dia masih menduduki rumah asal iaitu ketika mula-mula datang ke Felda itu tanpa membaiki dan menambah rumah terbabit.

“Saya sudah membuat permohonan kepada Felda, tetapi hingga ke hari ini pinjaman perumahan saya masih tidak diluluskan menyebabkan saya bimbang sampai bila akan menduduki rumah lama ini,” katanya.

Zainon berkata, bantuan perumahan itu perlu disegerakan memandangkan anak-anaknya semakin meningkat dewasa dan memerlukan rumah yang lebih selesa.



Guna duit sendiri baiki rumah


Sementara itu, bagi, Rasidah Samsudin, 45, pula, dia juga pernah memohon pinjaman sebelum ini, tetapi masih belum diluluskan hingga ke hari ini.

Katanya, dia terpaksa menggunakan duit sendiri untuk membaiki dan menambah rumah sedia ada supaya lebih selesa untuk anak-anak meskipun kewangannya terhad.

“Jika mahu tunggu pinjaman perumahan, tidak tahu bila akan dapat, jadi saya ambil keputusan baiki rumah rumah sedikit demi sedikit,” katanya.

Menurutnya, implikasi kelewatan itu, ramai peneroka menghadapi masalah kritikal untuk membaiki atau membina rumah baru kerana ketiadaan dana yang mencukupi.

“Kita sangat berharap Felda dapat menyegerakan pinjaman kepada peneroka supaya tidak timbul permohonan yang lama masih belum mendapat kelulusan pinjaman,” katanya.



Terpaksa tangguh kahwin anak


Seorang lagi rakannya, Zainul Rashidah Zainal Abidin, 46, berkata, dia terpaksa menangguhkan hasrat perkahwinan anaknya ke satu tarikh lain hingga mendapat pinjaman perumahan itu.

Menurutnya, ketiadaan bilik tidur menyebabkan dia terpaksa memohon pinjaman itu untuk memberi keselesaan kepada anak dan menantunya.

“Macam mana anak mahu kahwin jika bilik tidur di rumah pun tiada, jadi hasrat itu terpaksa ditangguhkan dahulu kerana berpendapat Felda akan beri pinjaman dalam tempoh terdekat,” katanya.

Manakala bagi Zainon Abd Aziz, 45, pula, dia baru saja memohon pinjaman perumahan awal tahun lalu kerana bimbang rumah yang didudukinya sekarang tidak selamat lagi.

Zainon berkata, rumahnya itu semakin uzur dan perlu dibaiki untuk keselesaan mereka sekeluarga.

“Saya baru memohon pinjaman daripada Felda dan berharap mendapat kelulusan segera kerana sebelum ini memang tidak pernah membuat permohonan pinjaman tersebut,” katanya.



Beri kelulusan ikut keutamaan

Sementara itu, Ketua UMNO Cawangan Felda Kerating 10, Ishak Mokhtar ketika ditemui berkata, peneroka sepatutnya tidak berasa bimbang dengan keadaan itu kerana pada 2012 kesemua permohonan akan diluluskan.

Menurutnya, kelulusan pinjaman itu sebenarnya diberi keutamaan kepada rumah peneroka yang terlalu uzur dan daif serta tidak timbul isu Felda ‘pilih kasih’ dalam memberi pinjaman perumahan.

“Felda memberi jaminan bahawa dua tahun lagi mana-mana permohonan rumah asal yang masih belum diluluskan akan diberi keutamaan untuk membaiki dan membina rumah,” katanya. [Sinar Harian/Pahang/13 Julai 2010]

Felda oh felda..PM cakap untung billion2, tapi untuk warga felda dapat bantuan, perlu 2 tahun atau perlu PANGKAH BN dulu,baru boleh dipercepatkan??
anda fikirlah sendiri...

Thursday, June 10, 2010

Polis Pun Kena Rompak Juga


KUALA LUMPUR 9 Jun - Sebanyak 62 kes kehilangan senjata api milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan berlaku sejak tahun 2001.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, jumlah itu melibatkan kehilangan 36 pucuk pistol semi automatik, 51 revolver dan dua sub mesingan (SMG).

"Bagaimanapun, 28 unit senjata iaitu empat pucuk pistol semi automatik dan 24 revolver telah dijumpai semula," katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Tian Chua (PKR-Batu) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Tian Chua ingin mengetahui mengenai jumlah kehilangan peralatan logistik milik PDRM.

Hishammuddin berkata, selain senjata, terdapat 58 kes kehilangan kenderaan milik PDRM yang melibatkan 49 motosikal, tiga kereta, masing-masing sebuah van dan kenderaan pacuan empat roda dilaporkan hilang dalam tempoh sama.

Beliau berkata, senjata dan kenderaan merupakan dua kategori logistik PDRM yang sering berhadapan dengan masalah kehilangan.
[Utusan Malaysia, 10 Jun 2010]

Ini merupakan satu pendedahan yang amat MEMALUKAN!! Apakah yang hendak dilebelkan kepada pihak yang menjaga keselamatan tetapi peralatan dan aset mereka sendiri pun tidak selamat? anda fikirlah sendiri..

Thursday, June 3, 2010

Kavyeas bingung Murugiah dikekalkan


KUALA LUMPUR 2 Jun - Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas melahirkan rasa bingung mengapa Datuk T. Murugiah masih dikekalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam senarai Kabinet barunya.

Dakwanya, walaupun semua pihak dalam PPP memahami isu pelantikan adalah hak mutlak Perdana Menteri, tetapi persoalan tersebut timbul kerana Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu telah lama dipecat daripada parti berkenaan.

"Ramai ahli tertanya-tanya mengapa masih dikekalkan kerana Murugiah bukan lagi ahli PPP? Apakah beliau telah menganggotai parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain atau ada sebab tertentu.

"Mereka bukan berniat untuk mempersoalkan hak mutlak Perdana Menteri tetapi ingin tahu atas dasar apa Murugiah perlu dikekalkan lagi," katanya ketika ditemui pada majlis angkat sumpah tiga ahli Dewan Negara yang baru di Parlimen di sini hari ini.

Kayveas diminta mengulas mengenai keputusan Perdana Menteri mengekalkan kedudukan Murugiah dalam rombakan Kabinet baru tetapi menggugurkan bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Wee Jeck Seng.

Isu orang kalah/dipecat tapi masih mengangotai kabinet BN ini bukan isu baru, sebagai contoh Sharizat Jalil yang kalah PRU juga boleh masuk kabinet juga. Murugiah pun serupalah skripnya. Jadi Kavyeas tak perlulah bingung lagi. Memang sudah sedia maklum, siape yang kuat mengampu dan "Yes Boss" akan teruslah dalam kerajaan kebudak-budakkan ini. Anda fikirlah sendiri..

Monday, May 31, 2010

Ulama' - Antara Amanah atau Cari Makan


KOTA BAHARU 31 Mei - Kecenderungan ulama masa kini terlibat dalam politik sehingga timbul kesangsian terhadap mereka adalah antara faktor golongan ini tidak lagi dipandang tinggi oleh masyarakat, kata Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan, Datuk Prof Hussin Abdul Rahman.

Sambil menyifatkan ulama masa kini semakin kebuntuan untuk mengutamakan antara ideologi politik dan kebenaran, beliau berkata ulama kini seharusnya melihat kepada legasi ulama terdahulu yang merupakan pemimpin yang dihormati dan diingati kerana mampu menegakkan kebenaran meskipun terpaksa mengetepikan kehendak dan naluri sendiri.

"Istilah ulama sebenarnya merupakan golongan pemimpin yang memahami tuntutan kebenaran, mereka merupakan golongan yang menyelesaikan, pemikir yang berfikir dengan berpaksikan kebenaran untuk dijadikan satu teladan.

"Namun, disebabkan delima politik, terdapat perilaku ulama yang menimbulkan kesangsian dan kebuntuan sehingga harapan masyarakat kepada ulama kini tidak lagi dipenuhi. Sebagai contoh mereka sepatutnya menyumbang kepada perpaduan tetapi mereka jadi benih perpecahan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Keintelektualan Islam Legasi Ulama Kelantan Di Nusantara di sini hari ini.

Hussin berkata bagi menimbulkan kesedaran terhadap kedangkalan ulama antara mempertahankan kebenaran dan politik, UiTM menganjurkan Seminar Keintelektualan Islam Legasi Ulama Kelantan Di Nusantara itu bagi mengangkat kembali martabat ulama di negara ini dengan cara mencontohi dan mengingati perjuangan ulama terdahulu. - Bernama ( Utusan malaysia, 31 mei 2010)

Apa tugas ulama' dan ustaz, ustazah jika tidak menerangkan kebenaran walaupun itu pahit. Orang melayu khususnya begitu kuat berpegang kepada perpaduan, akan tetapi apakah maksud PERPADUAN yang sebenarnya dalam agama Islam?

Perpaduan dalam Islam adalah perpaduan yang berpaksi kepada Islam itu sendiri. Perompak juga mengamalkan perpaduan dalam "operasi" mereka, tetapi adakah itu perpaduan yang dianjurkan?

Rasullullah S.A.W bersabda bahawa:
Tiada KETAATAN kepada makhluk dalam membuat kemaksiatan/dosa kepadaNya.

Jadi jika ada Kerajaan yang menghalalkan judi seperti "judi bola" maka adalah menjadi amanah ulama' untuk mennyampaikan kepada masyarakat bahawa jangan beri ketaatan lagi kepada kerajaan tersebut.

Janganlah jadi "syaitan bisu" hanya kerana mencari kesenangan dunia yang sementara- anda fikirlah sendiri..

Sunday, May 23, 2010

JUDI- Akhirnya Mengaku Juga


KUALA LUMPUR 22 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan meneliti reaksi masyarakat berhubung pemberian semula lesen menjalankan kegiatan pertaruhan pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 bulan depan kepada Berjaya Group baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, walaupun beliau belum dimaklumkan mengenai reaksi masyarakat berhubung perkara itu secara umumnya, kerajaan memberi jaminan akan sentiasa mengambil kira pandangan semua termasuk dari kalangan Islam dan bukan Islam.

‘‘Secara jujurnya saya belum lagi dimaklumkan mengenai situasi tersebut tetapi kita (kerajaan) memang mengambil kira reaksi orang awam, Islam dan bukan Islam.

“Saya percaya kerajaan akan mengambil kira perkara itu (reaksi masyarakat tentang kelulusan lesen judi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. (UTUSAN 23 Mei 2010)

Perkara yang tidak baik, akhirnya akan terbongkar juga. Mungkin itulah yang berlaku kepada BN kini yang mengaku meluluskan lesen judi. Jika bercakap tentang Melayu dan Islam, berdabik dada menyatakan mereka adalah pejuang sejati. Tetapi hakikatnya tidak seindah khabar dari rupa. BN lah yang menjadi dalang segala yang di dilarang dalam budaya bangsa melayu dan diharamkan oleh Islam iaitu judi. Walaupun apa alasannya, HARAM TETAP HARAM!!

TPM menyatakan bahawa beliau tidak mengetahui reaksi rakyat terhadap isu judi bola ini membuktikan bahawa beliau tidak ambil berat, lepas tangan dan ditipu bulat-bulat oleh pihak media konvensional. Jika beliau hendak tahu reaksi rakyat, bukalah internet, semua ada gambar-gambar dan video-video berkaitan reaksi rakyat terhadap judi ini. Alasan kebudak-budakkan!!

JUDI = HARAM
BN = JUDI
----------
BN = HA---

anda fikirlah sendiri...

Monday, May 17, 2010

PEKAN- PM Pun Tak Selesa


PEKAN 16 Mei - UMNO Bahagian Pekan menyingkirkan seramai 1,060 ahlinya setelah dikesan bersekongkol dengan parti pembangkang pada program pemutihan yang dijalankan sejak pilihan raya umum lalu.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Ishak Muhammad berkata, penyingkiran ahli-ahli itu diputuskan menerusi beberapa mesyuarat yang dijalankan di bahagian tersebut.

''Kita dapati mereka bersekongkol dengan parti pembangkang pada pilihan raya umum lalu dan kita mengambil keputusan menyingkirkan mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat UMNO bahagian itu di sini baru-baru ini.

Ishak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri berkata, menerusi program pemutihan itu, ahli UMNO Bahagian Pekan kini berjumlah 27,101 orang di 140 cawangan.

Sebelum program pemutihan dilaksanakan, jelas beliau, jumlah ahli UMNO di bahagian itu ialah seramai 33,204 orang.

''Ini bermakna, seramai 6,103 ahli telah terkeluar daripada UMNO bahagian ini dengan 5,043 orang tidak berjaya dikesan mungkin kerana meninggal dunia atau sebagainya manakala selebihnya disingkirkan selepas didapati bersekongkol dengan pembangkang," katanya. Utusan Online/ 17 Mei 2005

Q- Apakah kesimpulan yang dapat dibuat?
A- Orang UMNO di Pekan juga HILANG KEPERCAYAAN pada Najib.

Friday, March 19, 2010

YM Tengku Razaleigh kecewa jasanya tidak dikenang


PASIR PUTEH: Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata beliau kecewa kerana jasanya menubuhkan agensi itu tidak dikenang bahkan "dimarahi" disebabkan pendiriannya menyokong kerajaan Pas Kelantan menuntut isu royalti minyak.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, beliau menyokong tuntutan itu kerana menganggap pemberian wang ehsan (bukan royalti) oleh kerajaan pusat satu tindakan yang tidak tepat seolah-olah mengambarkan sebagai "peminta sedekah".
"Mengikut undang-undang yang saya rangka dan masih dipakai sehingga sekarang, Kelantan patut mendapat royalti minyak," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul di Sekolah Agama Saniah di sini, hari ini. Tengku Razaleigh berkata, beliau menubuhkan Petronas kira-kira 37 tahun lalu atas arahan bekas Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang ketika itu negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang tidak mempunyai telaga minyak.

Katanya, Abdul Razak mahukan beliau merangka satu draf undang-undang supaya negeri-negeri itu akan mendapat royalti minyak sebanyak lima peratus sekiranya telaga minyak dijumpai berhampiran dengan sesebuah negeri itu tanpa menyebut jarak dari pantai.

Menurutnya, hasil penubuhan itu Petronas menyumbangkan RM75 bilion setahun kepada kerajaan pusat iaitu 42 peratus daripada pendapatan punca hasil negara. - Bernama ( Berita Harian/muktahir/18 3 2010)

"Saya rasa perkara ini perlu diselesaikan secepat mungkin. Ada ruang untuk berbincang. Perlu ada kesanggupan untuk bertolak ansur," katanya pada ceramah bertajuk "Conversations on the Constitution: 'Oil Royalty - A Constitutional Right?" anjuran Majlis Peguam Malaysia di sini hari ini. Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata sebagai orang yang menggubal undang-undang Petronas, beliau tidak faham mengapa masih ada orang yang mempertikaikan peraturan tersebut.

"Saya tidak tahu mengapa ada pihak yang mempersoalkan tafsiran saya mengenai undang-undang itu...Saya yang merangka perkataan itu," katapengasas Petronas itu. (Berita Harian/muktahir/19 3 2010)

Wednesday, March 3, 2010

Pendidikan seks- Suatu Kerperluan atau Doktrin Liberalisasi


Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, walaupun kesatuan itu menyokong penuh usaha kerajaan untuk menyediakan pendidikan seks di sekolah-sekolah tetapi sesuatu yang menyedihkan ialah guru-guru kurang latihan formal dari segi kerumitan dan sensitiviti subjek itu dan tidak yakin untuk mengajarnya.( Kosmo,3 Feb 2010 )

Isu pengajaran pendidikan seks di sekolah bukan baharu didengar. Kerajaan yang mendakwa mereka juara dalam penerapan nilai-nilai Islam juga terburu-buru dan mengagungkan sistem pendidikan barat yang sama sekali bertentangan dengan norma dan budaya orang timur yang lebih berakhlak dan berperketi mulia.

Persoalan yang perlu dilihat ialah adakah dengan perlaksanaan pendidikan seks ini disekolah dapat menyelesaikan permasalahan gejala sosial yang semakin parah dewasa ini?
Kenapa kita tidak mengamalkan sistem pendidikan islamik yang lebih terbukti membentuk manusia menjadi insan yang berakhlak dan bersahsiah tinggi?

Pendidikan seks ini adalah doktrin golongan liberalisasi untuk munghancurkan umat Islam sebenarnya. Mendedahkan perkara berkaitan seks pada usia yang muda akan menjadikan mereka lebih terdorong untuk melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral. Adegan kanak-kanak bercumbu-cumbuan dibarat adalah perkara biasa disana dan gadis-gadis yang berusia awal belia, tidak dikatakan gadis sebenar jika belum pernah mengada hubungan seks!! adakah kita ingin keruntuhan moral ini menular ke negara ini?? anda fikir sendiri.

Sebenarnya pendidikan seks ini boleh didedahkan kepada mereka yang sudah atau bakal berkahwin, mereka inilah yang perlu didedahkan dengan pendidikan berkaitan hal ehwal rumahtangga, perancangan keluarga, dan lain-lain. Seks ini adalah fitrah manusia, walaupun tidak diajar, manusia akan pandai sendirinya. Janganlah rebung muda ini didedahkan kepada perkara yang tidak kena pada usia mereka. Mereka disekolah adalah wajar dididik supaya berakhlak mulia.

Umat Islam di Malaysia WAJIB membantah cadangan ini supaya anak cucu kita nanti menjadi ORANG dan bukan jadi BERUANG!! fikir-fikir lah sendiri.

Friday, February 12, 2010

Scorpene- Kapal Selam yang tak tak Boleh Selam


KUALA LUMPUR - Panglima Tentera Laut Jen. Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mengesahkan terdapat kerosakan teknikal pada kapal selam pertama negara KD Tunku Abdul Rahman yang menyebabkan ia tidak boleh menyelam.

Beliau berkata, kerosakan mekanikal itu dikesan pada 17 Januari lepas ketika kerja penyelenggaraan dilakukan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar, Sabah.

"Kerosakan itu melibatkan bahagian yang menyalurkan tekanan air keluar masuk yang menyebabkan kapal itu gagal untuk dilancarkan ke bawah permukaan air," katanya. (Kosmo 12 Feb 2010)

Kapal selam yang menjadi kebanggaan negara yang diperoleh negara tahun lepas sekali lagi menjadi bahan tertawa apabila kapal selam tersebut tidak mampu menyelam!!
Ironinya kejadian seperti ini memberi kesan buruk terhadap keupayaan ketenteraan negara. Setelah negara dikejutkan 3-4 bulan dahulu dengan kehilangan engin jet pejuang milik tentera udara hingga terlepas ke luar negara mencerminkan entiti yang "handal" menjaga keselamatan kononnya juga boleh bolos!!

Baru-baru ini pula kita sekali terkejut apabila rahsia ketenteraan dan keselamatan negara boleh dibocorkan keluar negara melalui kedutaan negara luar. Walaupun PM mengatakan masalah itu telah dapat diselesaikan decara diplomatik dan enjin jet pula tidak perlu bimbang kerana engin jet itu adalah engin lama dan bukan front line lagi, namum segala alasan "lepas tangan" ini tidak dapat diterima kerana isu keselamatan negara adalah tersangat penting, jika kita tidak diserang sakalipun, sistem pertahanan kita amat mudah disabotaj negara lain.

Kerajaan perlu serius dalam perkara ini!!jangan kita terlebih serius dengan kes-kes kecil dalam negara terutama melibatkan pembangkang. Jangan jadi "hero" kerana berjaya kacau bilaukan pembangkang sedangkan keselamatan negara seolah-olah dihujung tanduk. Perkara seperti ini mungkin banyak lagi berlaku tetapi belum atau tidak didedahkan, jangan pula lepas ini kereta kebal pula tak boleh menembak. Anda fikirlah sendiri..

Saturday, February 6, 2010

MUZAKARAH UMNO-PAS - Tak Faham atau Saja Tak Mau Faham


KOTA BHARU; Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menjelaskan kenyataannya mempelawa Umno untuk duduk semeja berbincang dengan Pas adalah semata-mata untuk menyelesaikan isu agama Islam yang diperjuangkan parti pembangkang itu.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, perkara berkenaan bukannya baru dan pernah disarankan sejak berpuluh tahun lalu.

"Dalam perbincangan itu, kita menumpukan kepada dua perkara utama saja, iaitu kenapa Umno tidak boleh terima Islam sebagai dasar parti itu, dan apakah salahnya Islam yang diperjuangkan oleh Pas," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau tidak mahu ada pihak yang menyalahtafsirkan pelawaannya hingga menimbulkan salah faham di kalangan pimpinan Umno dan Pas sendiri.

"Saya memang nak berunding atau bermuzakarah lama dah, malah surat yang saya hantar (untuk tujuan itu) kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) tiga bulan lalu, belum terjawab," katanya. ( Berita Harian, Mutakhir, 6 Feb 2010 )

Tuesday, January 19, 2010

Sultan Kedah puji pentadbiran negeri


ALOR SETAR- Corak pentadbiran Kerajaan Negeri yang baik di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dengan meningkatkan kualiti hidup rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum dipuji oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada titah ucapan baginda sempena menyambut Hari Keputeraan ke-82 di Istana Anak Bukit, semalam.

Baginda bertitah, corak pentadbiran Kerajaan Negeri yang mendukung tinggi prinsip keadilan tanpa mengira kaum dan agama itu amatlah dipuji dan rakyat diingatkan agar terus memelihara suasana aman damai yang membolehkan taraf hidup rakyat ditingkatkan tanpa ada sebarang ancaman atau gangguan terhadap keselamatan.

Baginda bertitah, kemudahan asas seperti prasarana, kemudahan kesihatan dan pelajaran telah disediakan di semua kawasan penempatan yang utama dan golongan yang kurang bernasib baik turut diberikan bantuan kewangan bagi meringankan perbelanjaan sara hidup.

“Skim Kifalah yang dilancarkan yang pada tahun ini dengan memberi bantuan sejumlah RM500 kepada kepada keluarga termiskin yang meninggal dunia akan dapat membantu meringankan beban bagi membiayai kos pengurusan jenazah kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” titah baginda.

Baginda bertitah, pembinaan rumah kategori rumah mampu milik yang dilaksanakan telah memberi peluang kepada semua pihak untuk memiliki rumah yang sempurna dan mengurangkan rakyat mendiami kawasan setinggan yang tidak mempunyai kemudahan asas.

Baginda bertitah, Kerajaan Persekutuan diharapkan dapat memberi peruntukan dan melaksanakan Projek Tebatan Banjir yang mampu mengurangkan ancaman banjir dengan segera demi faedah dan kesejahteraan rakyat. ( Sinar Harian Utara-online, 19 Jan 2010)

adakah berita ini dikeluarkan oleh TV atau Akhbar?
berita sampah dll kenapa cepat keluar TV?
kenapa?

kerana MALU.. orang PAS lebih pandai mentadbir negeri.

anda fikirlah sendiri..

Thursday, January 7, 2010

ISLAM diCABAR kerana orang Islam HINA Islam


Isu penggunaan kalimah "ALLAH" oleh pihak Herald telah mencetuskan perlbagai riaksi kemarahan masyarakat islam tanpa mengira fahaman politik yang tidak perlu diceritakan lagi. Ketetapan yang diambil adalah penggunaan "ALLAH" ini tidak dibenarkan digunakan oleh agama-agama lain selain Islam. Walaupun tidak salah orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah "ALLAH" seperti "ALLAH MENCIPTA ALAM" dan lain-lain seperti yang diulas oleh Dr Mohd Asri namun kebimbangan penyalahgunaan kalimah itu pada masa hadapan adalah lebih merbahaya. Adalah lebih baik, semua umat Islam mempertahan kalimah "ALLAH" ini untuk umat Islam sahaja. Janganlah diberi ruang sedikit pun oleh umat lain mengeksploitasi perkara ini kerana ruang yang sedikit itu akan membuka kepada ruang yang lebih besar pada masa hadapan.

Jika diamati "ISLAM" di Malaysia sekarang, kita seharusnya sedar bahawa Islam sedang dan akan dicabar serta dihina oleh orang kafir!! Kita dihidang dengan pelbagai contoh seperti kes Lina Joy yang mencabar Aqidah umat Islam dari sudut perundangan. Pelbagai kes mempersoal status keislaman seseorang dipersoal seperti kes Pendaki Averest yang dituntut oleh ahli keluarganya untuk disemadikan mengikut agama Hindu. Banyak lagi contoh yang menunjukkan Islam tidak lagi dihormati kini.

Jika dilihat dari sudut umat Islam itu sendiri pula, mereka juga sudah sama dengan umat agama lain dari sudut bersosial dalam kehidupan. Suruhan Allah dalam Al-Quran semakin hari semakin jauh ditinggalkan. Hukum hakam Islam tidak diperduli lagi. Malah ada yang mencabar hingga ke peringkat perundangan jika hukum HUDUD ini dilaksanakan. Inilah kesan jika umat Islam sendiri tidak mahu kepada Islam secara menyeluruh. Hanya ambil Islam jika ada faedah kepada diri dan survival politik sahaja. Islam di Malaysia sudah kehilangan "IZZAH" atau "KEHEBATAN" di mata umat lain. Islam adalah cara hidup yang terbaik yang menjanjikan perpaduan dan kekuatan umat mulia ini atas dasar ISLAM bukanya atas dasar Nasionalisme atau apa sahaja. Kembalilah wahai umat Islam kepada perjuangan Islam yang tulen, mudah-mudahan kita akan berjaya didunia dan diakhirat sana..