Monday, July 19, 2010

Harga Naik- Apa Ada Pada GULA


Sudah hampir seminggu kenaikan harga gula dan petrol diumumkan oleh kerajaan yang amat mengutamakan rakyat dari segi ekonomi pada masa depan,kononya!!Maka hari demi hari dipertontonkan dalam TV bahawa kenaikan harga gula ini akan dapat membantu rakyat mengawal pengambilan gula yang menyebabkan pelbagai penyakit dll.
Cuba anda tanya kepada cikgu sains, adakah betul eksperimen jika kajian yang dilakukan untuk menentukan perbandingan bahan. Tetapi parameter yang digunakan berbeza? sudah tentu keputusan eksperimen tersebut tidak boleh diterima dan tertolak. Begitulah yang dilakukan perbandingan terhadap gula. Kenaikan harga gula ini berorentasikan EKONOMI, tetapi kepada digembar gembur gula yang berorentasikan KESIHATAN. Ini pun mereka hendak memperbodohkan rakyat!! Jika begitu yang hendak digambarkan terhadap gula, kerajaan bolehlah meletakkan gambar kaki kena potong akibat gula atau tulis dipek gula. AMARAN KERAJAAN M'SIA, GULA MEMBAHAYAKAN KESIHATAN.

Tidak cukup dengan itu, media secara sedar atau tidak sekali lagi mengambarkan "kebodohan" pemerintah apabila mengambarkan dengan peningkatan harga gula ini akan mengurangkan aktiviti penyeludupan gula ke luar negara.
Apabila kenyataan ini disebarkan, maka terlintas di fikiran rakyat secara tersirat bahawa selama ini kerajaan tidak serius membanteras penyeludupan gula. Adakah formula untuk membendung jenayah ini ialah dengan meningkatkan harga gula??
Begitulah nasib rakyat negara ini.. RAKYAT DIUTAMAKAN..
Anda fikirlah sendiri....

Wednesday, July 14, 2010

PAS- Rahmat Sekalian Alam


SHAH ALAM – Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) menyokong penuh dasar-dasar ditetapkan Pas, termasuk bai’ah baru dan ikrar aku janji meletakkan jawatan dan membayar ganti rugi, jika tidak lagi bersama Pas.

Setiausaha DHPP, K Deepakaran berkata, sekiranya Pas menetapkan syarat sama jika DHPP dicalonkan sebagai wakil pilihan raya umum akan datang, menjadi tanggungjawab DHPP mendukung segala dasar diberikan Pas dengan amanah.

Menurutnya, apabila seseorang wakil dilantik sebagai ahli majlis atau calon pilihan raya, mereka adalah pendukung amanah rakyat dan jika mereka berpaling bererti mereka mengkhianati rakyat serta wajar menerima hukuman seperti disyaratkan dalam aku janji.

“Sebagai sayap Pas, ahli DHPP sudah sedia maklum dengan dasar parti itu dan ia tidak menjadi masalah.

“Jika hendak berjuang kita perlu yakin dengan perjuangan kita. Pasti tidak masalah untuk keluar parti atau sebagainya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau, yang baru dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Klang berkata, Pas melakukan tindakan yang betul sebagai langkah mengelakkan ahli atau penyokong meninggalkan parti.

Mereka yang melakukan perkara yang bercanggah dengan aku janji patut dikenakan tindakan sedemikian kerana sebagai penyokong mereka perlu bersedia akur dengan dasar-dasar ditetapkan Pas.

“Sebagai penyokong yang bersama-sama dengan perjuangan Pas, kita perlu ikut dasar itu, kalau tidak bersedia, dari awal sudah beritahu dan tidak perlu sertai,” katanya.

Harakahdaily.net melaporkan, parti itu mendapati 67 kerusi ahli majlis kerajaan tempatan di negeri yang ditadbir bersama dengan PKR dan DAP.

Sebagai tanda sokongan, Pas memberikan tempat kepada ahli DHPP apabila empat dari mereka dilantik menjadi ahli majlis di bawah kuota parti itu iaitu S Arun, yang dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor; S Lakshmanan, Kuala Selangor; Low Hock Khieng, Selayang serta Deepakaran.

Mereka yang dilantik telah mengangkat sumpah di depan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr Hassan Ali.

Antara sumpah atau ikrar mereka adalah mereka akan meletakkan jawatan serta-merta dan membayar balik segala pendapatan dan elaun yang diperoleh ketika memegang jawatan sebagai ahli majlis jika mereka tidak lagi bersama Pas. [Sinar Harian/13julai2010]


Jika suatu masa dahulu, orang tidak terlintas dibenak fikiran akan ada orang bukan islam akan menyertai PAS. Tetapi kini segalanya telah berubah, masyarakat bukan Islam juga dapat menerima PAS dan perjuangan yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pimpinan mereka. Benarlah apa yang ada di dalam Al-quran, bahawa Islam ini adalah Rahmat Sekelian Alam. Jika orang bukan Islam boleh menerima PAS, maka orang Islam baka yang belum bersama PAS, patut malu dengan diri dan Islam yang mereka ada..anda fikirlah sendiri...

Tuesday, July 13, 2010

FELDA- Untung Tapi Tak Ada Duit


KERATONG 10 – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Keratong 10, di sini, digesa mempertimbangkan segera permohonan pinjaman perumahan yang dimohon peneroka sejak beberapa tahun lalu.

Peneroka mendakwa, kebanyakan rumah di Felda Keratong 10, masih lagi rumah kayu lama yang dibina semasa mereka membuka tanah rancangan di situ.

Kelewatan memberi kata putus kepada permohonan pinjaman itu menyebabkan peneroka tidak dapat membina rumah baru atau membaiki kediaman mereka.

Keadaan itu menyebabkan mereka sentiasa diselubungi perasaan bimbang berikutan rumah yang didiami sekarang sudah tidak selamat, terutama jika melihat pada sistem pendawaian elektriknya.

Permohonan mereka untuk mendapatkan skim pinjaman perumahan sehingga RM40,000 itu juga ada asasnya berikutan bilangan isi rumah semakin meningkat dan tidak sesuai lagi tinggal di dalam rumah yang kecil dan sempit.

Peneroka mahu pelbagai syarat yang dikenakan terhadap calon peminjam dapat dilonggarkan kerana ia hanya akan membantutkan hasrat mereka untuk mendiami rumah yang lebih selesa.



Pinjaman masih belum diluluskan


Seorang isteri peneroka, Zainon Abu Bakri, 51, berkata, dia sudah membuat permohonan pinjaman sejak 2006, tetapi masih belum diluluskan hingga sekarang.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dia masih menduduki rumah asal iaitu ketika mula-mula datang ke Felda itu tanpa membaiki dan menambah rumah terbabit.

“Saya sudah membuat permohonan kepada Felda, tetapi hingga ke hari ini pinjaman perumahan saya masih tidak diluluskan menyebabkan saya bimbang sampai bila akan menduduki rumah lama ini,” katanya.

Zainon berkata, bantuan perumahan itu perlu disegerakan memandangkan anak-anaknya semakin meningkat dewasa dan memerlukan rumah yang lebih selesa.



Guna duit sendiri baiki rumah


Sementara itu, bagi, Rasidah Samsudin, 45, pula, dia juga pernah memohon pinjaman sebelum ini, tetapi masih belum diluluskan hingga ke hari ini.

Katanya, dia terpaksa menggunakan duit sendiri untuk membaiki dan menambah rumah sedia ada supaya lebih selesa untuk anak-anak meskipun kewangannya terhad.

“Jika mahu tunggu pinjaman perumahan, tidak tahu bila akan dapat, jadi saya ambil keputusan baiki rumah rumah sedikit demi sedikit,” katanya.

Menurutnya, implikasi kelewatan itu, ramai peneroka menghadapi masalah kritikal untuk membaiki atau membina rumah baru kerana ketiadaan dana yang mencukupi.

“Kita sangat berharap Felda dapat menyegerakan pinjaman kepada peneroka supaya tidak timbul permohonan yang lama masih belum mendapat kelulusan pinjaman,” katanya.



Terpaksa tangguh kahwin anak


Seorang lagi rakannya, Zainul Rashidah Zainal Abidin, 46, berkata, dia terpaksa menangguhkan hasrat perkahwinan anaknya ke satu tarikh lain hingga mendapat pinjaman perumahan itu.

Menurutnya, ketiadaan bilik tidur menyebabkan dia terpaksa memohon pinjaman itu untuk memberi keselesaan kepada anak dan menantunya.

“Macam mana anak mahu kahwin jika bilik tidur di rumah pun tiada, jadi hasrat itu terpaksa ditangguhkan dahulu kerana berpendapat Felda akan beri pinjaman dalam tempoh terdekat,” katanya.

Manakala bagi Zainon Abd Aziz, 45, pula, dia baru saja memohon pinjaman perumahan awal tahun lalu kerana bimbang rumah yang didudukinya sekarang tidak selamat lagi.

Zainon berkata, rumahnya itu semakin uzur dan perlu dibaiki untuk keselesaan mereka sekeluarga.

“Saya baru memohon pinjaman daripada Felda dan berharap mendapat kelulusan segera kerana sebelum ini memang tidak pernah membuat permohonan pinjaman tersebut,” katanya.



Beri kelulusan ikut keutamaan

Sementara itu, Ketua UMNO Cawangan Felda Kerating 10, Ishak Mokhtar ketika ditemui berkata, peneroka sepatutnya tidak berasa bimbang dengan keadaan itu kerana pada 2012 kesemua permohonan akan diluluskan.

Menurutnya, kelulusan pinjaman itu sebenarnya diberi keutamaan kepada rumah peneroka yang terlalu uzur dan daif serta tidak timbul isu Felda ‘pilih kasih’ dalam memberi pinjaman perumahan.

“Felda memberi jaminan bahawa dua tahun lagi mana-mana permohonan rumah asal yang masih belum diluluskan akan diberi keutamaan untuk membaiki dan membina rumah,” katanya. [Sinar Harian/Pahang/13 Julai 2010]

Felda oh felda..PM cakap untung billion2, tapi untuk warga felda dapat bantuan, perlu 2 tahun atau perlu PANGKAH BN dulu,baru boleh dipercepatkan??
anda fikirlah sendiri...